Sejak kebelakangan ni, saya asyik dengan kerja-kerja sekolah yang
bertimbun. Baru-baru ni, saya luangkan sedikit masa bersama seorang
rakan. Saya agak terkejut dengan perkhabarannya. Dia dan dua orang lagi
sahabatku sedang dilema cinta. Ya Allah! Banyak yang saya ketinggalan
tentang cerita sahabat-sahabat saya. Walaupun belajar sama-sama, namun,
masa yang selalu mencemburui saya sering menghalangi saya dan
sahabat-sahabat untuk bersama dan meluahkan isi hati masing-masing.
Dia memulakan luahannya. Dia jatuh hati dengan seorang rakan kami. Dia
terpikat dengan peribadi lelaki itu. Lelaki itu baik dengannya, lembut
dalam berbicara. Dia mengaku, dia sebenarnya takut untuk beritahu saya.
Saya gembira kerana dapat mendengar masalah hatinya. Saya gembira
kerana dia sedia membantu dirinya sendiri. Sebenarnya, dia tidak perlu
berasa takut dengan saya tetapi berasa takut dengan Allah. Dia inginkan
jawapan daripada luahan hatinya. Dia meminta pandangan saya. Dia takut,
dengan melayan perasaan yang tiba-tiba muncul itu akan mengganggu
gugat hati yang sedang mengejar impian. Dia juga berkata, “kalau macam
ni la, aku lebih rela kahwin muda daripada diselubungi dosa. Aku tak
nak lalai. Bila aku ingat dia je, aku akan tidur untuk lupakan dia. Aku
risaulah kalau aku betul-betul jatuh hati dengan dia.”
JAWAPAN CINTA
Saya hanya menganggukkan kepala dan menjawab :
Cuba kita fikir balik. Apa kelebihan dan faedah kalau kita bercinta?
Ya! Memang rasa suka itu fitrah. Perasaan memang selalu datang tanpa
diundang. Bila rasa tu nak datang, dia tak pernah bagi salam dulu. Rasa
tu main datang je kan. Allah tak bunuh fitrah kita tu, tapi, ada jalan
penyelesaian yang lebih baik dan diberkati-Nya. Salurkanlah rasa suka
itu hanya pada peribadinya, contohilah yang baik, jangan sampai cinta
menodai hati kita. Bila kita melayan perasaan, syaitan akan memainkan
peranannya iaitu mengganggu gugat hati dan fikiran kita untuk ke arah
memikirkan si dia lebih dari mengingati Dia.
Berdoalah
selalu agar kita diteguhkan hati untuk melayari bahtera dunia yang
semakin fana’. Kita kena istikharah daripada sekarang. Tapi, jangan
ingat si dia dalam istikharah kita sebab kita akan cenderung pada dia.
Nafsu dan syaitan akan mengganggu kita. Berdoalah agar kita dikurniakan
Allah pasangan yang baik dan soleh. Untuk dapatkan yang soleh, kita
kenalah jadi solehah dulu.
“Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan
laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan
wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki
yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).” (Surah al-Nur :
26)
Cuba kita fikirkan, sampai bila kita yakin kita boleh suka dan sayang
orang tu? Sampai kita umur 20 tahun? 24 tahun? Selamanya? Umur kita
masih muda untuk memilih pasangan hidup kita. Fikirlah jangka masa
panjang jika hati sudah mula hendak memiliki. Andai kita bercinta di
usia muda, apa matlamat hubungan cinta itu? Bagaimana pengakhirannya?
Adakah dengan nikah? Adakah sebagai tunang? Atau hanya sebagai pasangan
yang hangat bercinta di sekolah saja? Bagaimana pula jika kita putus di
tengah jalan? Takkah sia-sia? Takkan kita nak bagi pasangan sehidup
semati kita sisa-sisa cinta saja? Takkan kita nak serahkan sisa cinta
untuk suami kita nanti? Patutkah? Fikirlah untuk jangka masa panjang.
“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah
suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (Surah al-Israa’ :
32)
FIKIR-FIKIRKAN
Cuba pula kita renungkan, ibu dan ayah kita susah payah cari duit,
bekerja, semata-mata untuk membiayai pembelajaran kita. Bukan berpuluh
tapi beratus malah sudah beribu agaknya jika dihitung dari kita tadika
hinggalah ke peringkat sekarang. Takkan kita nak hampakan harapan mereka
hanya kerana satu perasaan? Daripada kita topup RM10 seminggu, cuba
kita kumpul, kan banyak tu. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.
Berbaloikah kita membazir dengan topup hanya untuk menghubungi (mesej,
calling) si dia yang belum jamin lagi dia akan jadi milik kita. Bolehkah
kita pasti dan yakin bahawa dia milik kita dan kita milik dia?
Pastikah? Ramai lagi yang akan kita temu bila sudah bertemu dengan dunia
luar seperti di universiti atau kolej dan sebagainya. Kalau kita bagi
lampu hijau pada syaitan, macam-macam syaitan boleh buat.
Fikirkan juga perasaan Allah. Jangan sesekali pinggirkan Allah dalam
soal hati kita. Luahkanlah segala-galanya pada-Nya kerana Dialah
kaunselor yang terhebat dan terbaik. Ayat-ayat cinta-Nya mampu
meranapkan dinding gelisah, sedih dan tidak tenteram yang bersarang
dalam hati dan jiwa kita. Solatlah untuk mendekatkan lagi kecintaan kita
pada-Nya. Berdoalah pada-Nya kerana Dia adalah penolong terbaik kita
semua.
“Allah tidak
membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat
pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari
kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdo`a): “Ya Tuhan kami,
janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan
kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat
sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya
Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup
kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah
kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir”.” (Surah al-Baqarah : 286)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar