Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Orang mukmin sentiasa reda dengan apa saja ujian atau musibah yang
berlaku keatas dirinya. Sifat reda dan sabar ketika menghadapai suasana
genting adalah akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah S.W.T.
Menurut Ibn Qayyim dalam kitab Zad al-Ma'ad musibah yang berlaku boleh diringankan dengan enam cara :
1. Mengikut petunjuk Allah dan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya.
2. Mencari ilmu yang syar'i.
3. Bertaubat daripada dosa-dosa.
4. Mengamalkan zikir yang berterusan.
5. Berbuat baik kepada semua makhluk.
6. Melakukan mujahadah.
Huraiannya adalah seperti berikut :
1. Mengikut petunjuk Allah dan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya.
Firman Allah S.W.T maksudnya : "Dengan kitab itulah Allah menunjuki
orang-orang yang mengikuti keredaan-Nya kejalan keselamatan, dan (dengan
kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gelita
kepada cahaya yang terang benderang dengan seizin-Nya, dan menunjuki
mereka kejalan yang lurus."
(Surah al-Maidah ayat 16).
Al-Quran merupakan sumber utama ajaran Islam, di mana di dalamnya
terkandung hidayah dan petunjuk bagi setiap muslim dalam menjalani
kehidupan agar selamat dan memperoleh kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Ada beberapa macam hidayah al-Quran kepada manusia iaitu mengeluarkan
manusia dari kegelapan menuju cahaya Ilahi. Ajaran al-Quran membimbing
manusia agar keluar dari kegelapan yang berupa kekafiran, kesesatan dan
kebodohan menuju cahaya Ilahi yang berupa keimanan, keislaman dan ilmu
pengetahuan.
Kita perlu mengikhlaskan beribadah kepada Allah S.W.T. Ikhlas selalunya
lahir dari hati.yang luhur dan mengharapkan reda Allah S.W.T.
semata-mata. Inilah akan menjadi kunci kesempurnaan dan kejayaan segala
amal. Allah S.W.T. akan menerima perbuatan atau amal yang dilakukan
dengan ikhlas.
Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran
ini kepadamu wahai Muhammad dengan membawa kebenaran,oleh itu hendaklah
engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya"
Ingatlah hak yang wajib dipersembahkan kepada Allah ialah segala ibadat dan amalan yg suci bersih dari segala rupa syirik.
Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "...Kemudian Allah bertanya kepada
orang yang beribadat dengan ikhlas. Dia menjawab, “Dengan kemuliaan dan
ketinggianMu, Engkau lebih tahu apa yang aku kehendaki. Aku
menghendaki zikir kepadaMu dan mengharap redaMu.” Allah berfirman
maksudnya : “Benar hamba-Ku.” Dia pun dihantar ke syurga. (Hadis
Riwayat Thabrani)
2. Mencari ilmu yang syar'i.
Mencari ilmu yang syar'i perlu menghadiri majlis ilmu dan tazkirah yang
di adakan di masjid atau di surau. Mendengar dengan khusyuk
penyampaian ilmu daripada guru-guru yang arif.
Nabi S.A.W. bersabda yang maksudnya, ”Barangsiapa menuntut ilmu bererti menuntut jalan ke syurga”.
(Hadis Riwayat Muslim)
Imam Asy-Syatiby di dalam kitab Al Muwafaqot, “Ilmu yang muktabar
menurut syara’ adalah ilmu yang mendorong pemiliknya untuk beramal,
yang tidak membiarkan pemiliknya mengikuti hawa nafsunya bagaimanapun
ia, bahkan ia mengikat pengikutnya dengan ilmu tersebut, yang membawa
pemiliknya mematuhi aturan-aturan-Nya suka atau tidak suka”.
3. Bertaubat daripada dosa-dosa.
Sebagai seorang hamba kepada Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang,
tidak ada permohonan yang lebih besar dari permohonan keampunan dari
segala noda dan dosa. Setiap satu dosa yang kita kerjakan akan terjadi
satu titk hitam pada hati-hati kita. Apabila terlalu banyak dosa yang
dilakukan secara sedar atau tidak maka titik-titik hitam itu akan
menjadi banyak hingga hati itu menjadi hitam pekat. Apabila hati sudah
menjadi hitam maka selaput inilah yang menjadi hijab kepada Allah S.W.T
Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu siang
untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu malam, dan
membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu malam untuk menerima taubat
mereka yang melakukan dosa pada waktu siang. Hal ini berkekalan
sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat."
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :
"Barangsiapa melazimi meminta ampun kepada Allah, nescaya Allah akan
menjadikan baginya jalan keluar dari setiap kesempitan dan menjadikan
baginya jalan lapang dari setiap kesusahan serta Allah memberi rezeki
kepadanya dari punca yang tidak disangka-sangka."
4. Mengamalkan zikir yang berterusan.
Sifat orang-orang mukmin lidahnya sentiasa basah berzikir kepada Allah
S.W.T. Dengan berzikir hati akan menjadi tenteram, bahagia dan damai
kerana perhubungan ketika itu adalah perhubungan terus kepada Allah
S.W.T.
Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Orang-orang yang mengingati Allah
sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka
memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) “Ya
Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci
Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.”
(Surah Al Imran Ayat 191)
Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : “Orang yang membaca ‘Laailaha
illallah’ di dalam keadaan penuh keikhlasan di dalam hatinya atau iman
bersamaan dengan sebiji barli, maka ia akan dikeluarkan dari neraka
jahanam. Dan orang yang membaca kalimah ini dan di dalam hatinya
terdapat keikhlasan atau iman bersamaan sebesar biji gandum maka ia
akan dikeluarkan dari api Neraka Jahanam dan orang yang membaca dengan
penuh kebaikan atau iman maka ia juga akan dikeluarkan daripada api
Neraka Jahanam”.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi S.A.W. bersabda
maksudnya : "Sesungguhnya Allah s.w.t Yang Maha Memberkati lagi Maha
Tinggi memiliki para malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan
oleh Allah S.W.T. Para malaikat selalu mengelilingi bumi. Para malaikat
sentiasa memerhati majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu
majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis
tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka
sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir
tersebut dan langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis
tersebut beredar, para malikat naik ke langit."
5. Berbuat baik kepada semua makhluk.
Menyebabkan dada menjadi lapang. Sifat orang mukmin akan berbuat baik
kepada semua makhluk Allah S.W.T. di muka bumi. Samaada kepada manusia,
binatang dan tumbuh-tumbuhan. Terutama kepada kedua ibu bapa, saudara
mara, jiran tetangga dan anak yatim dan fakir-miskin.
Allah S.W.T. berfirman maksudnya :
“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan dari bisik-bisik mereka, kecuali
siapa yang menyuruh bersedekah, kebaikan, atau mendamaikan antara
manusia. Dan barangsiapa yang melakukan hal itu dengan mencari reda
Allah, maka Kami akan memberikannya pahala yang besar.” (Surah an-Nisa
ayat 114)
Allah ‘Azza wa Jalla mengabarkan bahwa semua hal di atas adalah bagi
sesiapa pun yang merealisasikannya, serta kebaikan akan mengundang
kebaikan dan menolak keburukan. Juga Allah ‘Azza wa Jalla janjikan bagi
mukmin yang mengharap pahala-Nya, maka Allah akan memberikan pahala
yang besar. Termasuk dari pahala yang besar itu adalah hilangnya
kerisauan, kesusahan, kekeruhan hati, dan seterusnya.
6. Melakukan mujahadah .
Dengan melakukan mujahadah seseorang boleh mengikis sifat-sifat negatif
yang ada pada dirinya. Pada adatnya tidak mungkin kita sampai pada
lapangan makrifat terhadap Allah SWT apabila kita tidak mahu
bermujahadah, tidak mahu melihat kelemahan-kelemahan yang terkandung
dalam diri kita, lebih-lebih lagi kelemahan itu berupa penyakit hati.
Oleh itu Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: “Orang-orang yang
berjuang di jalan Kami, sesungguhnya Kami akan memberi petunjuk mereka
itu pada jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah beserta orang-orang
yang membuat kebaikan.”
"Mujahadah” yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah memerangi hawa nafsu
yang mengatasi segala kelemahan diri untuk mencapai dengan sempurna
keredaan Allah SWT. Tegasnya, orang-orang yang mengerjakan sesuatu yang
tidak baik bererti ia mendatangkan kekurangan pada peribadinya
sendiri. Umumnya tabiat manusia tidak menghiraukan keaiban-keaiban
tetapi mengutamakan pada hal-hal yang dianggap baik.
Bermujahadah melawan nafsu bererti berperang dengan diri kita sendiri.
Apa yang di sukai oleh hawa nafsu akan disukai oleh diri kita sendiri.
Hanya dengan ilmu yang tepat sahaja kita dapat menilai apakah kehendak
itu baik atau jahat. Namun setakat tahu buruk atau baiknya belum cukup
untuk kita mampu melaksanakan atau meninggalkan. Kita perlu
bermujahadah dan terus bermujahadah. Ramai manusia yang tahu tapi tidak
mahu melaksanakannya.
Dan ramai juga manusia yang mahu tapi tidak mampu kerana sentiasa
mendapat bisikan syaitan , syaitan tidak pernah tidur. Begitu juga
nafsu, musuh yang tidak pernah tahu erti lesu. Sedikit sahaja kita
terleka, pasti kita di tipu dan dihasutnya.
Sahabat yang dimuliakan,
Apabila hati sentiasa berhubungan dengan Allah S.W.T, berdoa dan
bermunajat, Allah S.W.T. akan meringankan segala bebanan dan
penderitaan kita. Musibah yang datang juga akan diringankan oleh-Nya.
Oleh it marilah kita sama-sama amalkan enam perkara yang tersebut di
atas semoga kita menjadi hamba-hamba Allah yang dikasihi dan
diredai-Nya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar